Aktiviti tahunan yang diadakan secara besar-besaran setiap tahun, Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri SINAR telah diadakan pada 28 Jun 2019 bersamaan 24 Syawal 1440 Hijrah, di perkarangan ibu pejabat SINAR Haemodialysis bermula jam 11.00 pagi. Majlis Rumah Terbuka ini telah menjadi sinonim kepada warga SINAR keseluruhannya dalam meraikan hari kemenangan dalam bulan Syawal, dengan jamuan hari raya yang dihadiri oleh seluruh kakitangan SINAR, ahli keluarga, pembekal-pembekal, pesakit-pesakit dan juga warga setempat di Ibu Pejabat SINAR di Balai Panjang, Malim. Acara dimulakan dengan bacaan yasin dan tahlil oleh anak-anak syurga dari Madrasah Ar-Rabaniyyah Darul Ikhlas sebagai permulaan majlis. Majlis diteruskan dengan jamuan yang dihidangkan termasuklah, nasi hujan panas, dalca kambing, daging salai masak lemak cili padi dan ikan keli goreng cili juga disediakan dengan makanan iringan seperti apam balik, satay, laksa dan kuih muih tradisional. Antara tetamu kehormat yang hadir termasuklah Ahli Dewan Undangan Negeri Melaka DUN Kesidang, YB Allex Seah Soo Chin dan YBRS Tuan Juhari Bin Usman, Pengerusi Japerun Pantai Kundor. Majlis yang dihadiri oleh lebih 500 tetamu ini diakhiri dengan sesi bergambar oleh kakitangan SINAR dari setiap cawangan yang hadir memeriahkan majlis dan pesakit-pesakit SINAR.