Pembukaan cawangan ke-6 SINAR, iaitu Sinar Haemodialysis Sdn Bhd (Jasin, Melaka) telah dirasmikan di sebuah majlis yang serba meriah bertempat di SINAR Jasin yang terletak di Taman Bemban Height, Jasin, Melaka. Perasmian disempurnakan tepat jam 12.30 tengahari dimulai dengan acara pemotongan riben oleh Ybhg Sahibus Samahah Datuk Hj Abdul Halim Bin Tawil, Mufti Kerajaan Negeri Melaka, Hj. Mohd Amerudin Bin Kamaludin, Ketua Pegawai Eksekutif Sinar Haemodialysis, dan Hjh. Noor Hadzlina Binti Misbah, Ketua Operasi Perniagaan Sinar Haemodialysis. Majlis diteruskan dengan ucapan dari Ketua Pegawai Eksekutif Sinar Haemodialysis, Hj. Mohd Amerudin diikuti dengan ucapan Ybhg Datuk yang penuh mendalam dan bermakna buat seluruh warga yang hadir dalam majlis tersebut. Majlis ini dihadiri oleh kakitangan-kakitangan SINAR dari keenam-enam cawangan, tetamu-tetamu yang terdiri daripada Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Jasin, doktor-doktor, wakil dari ANGKASA, wakil agensi-agensi kerajaan dan swasta, wakil para pembekal syarikat, wakil-wakil bank, wakil hospital kerajaan dan swasta, para pelajar tahfiz Madrasah Ar-Rabaniyyah cawangan Krubong Tanah Merah Melaka, rakan-rakan niaga, sahabat-sahabat dan keluarga SINAR. Berikutan perasmian SINAR Jasin ini, SINAR juga berkesempatan meraikan kakitangan yang telah berkhidmat melebihi 10 tahun, dengan tajaan penuh pakej menunaikan umrah dan percutian yang dikendalikan oleh agensi pelancongan Baheej Travel & Tour Sdn Bhd secara percuma kepada 5 orang kakitangan SINAR. Anugerah tersebut telah disampaikan oleh Ybhg Datuk dalam majlis ini. Selesai upacara perasmian, majlis diserikan dgn upacara cabutan bertuah. Sebanyak 35 hadiah menarik disediakan oleh pihak pengurusan SINAR untuk semua kakitangan SINAR yang hadir. Terdahulu, pada 4 April 2019 pelajar tahfiz daripada Darul Ulum Islamiyah Ar-Rabaniyyah telah menyempurnakan Majlis Khatam Al-Quran dan Doa Selamat di SINAR cawangan Jasin.