PROGRAM PENYEDIAAN BUBUR LAMBUK, MAJLIS BERBUKA & PENYERAHAN SUMBANGAN RAMADHAN (MELAKA) 10 MEI 2019 - Bulan Ramadan merupakan bulan yang mulia dan ditunggu-tunggu setiap umat Islam dalam mengejar kebaikan dan pahala. SINAR juga tidak terlepas untuk melaksanakan beberapa program tahunan pada Jumaat 5 Ramadan 1440 Hijrah dengan gotong-royong dalam penyediaan Bubur Lambuk bersama pesakit dan kakitangan di SINAR Melaka. Penyediaan bubur lambuk dimulakan seawal jam 10.00 pagi bagi memasak 2 jenis bubur lambuk iaitu bubur lambuk ayam dan bubur lambuk daging, diketuai oleh Puan Roshita Ali. Program ini diadakan di hadapan Ibu Pejabat Sinar Haemodialysis Malim, Melaka dimana penyediaan peralatan dan bahan basah dan kering juga telah dilakukan pada hari sebelumnya iaitu pada 9 Mei 2019 secara bergotong-royong oleh kakitangan SINAR di Melaka. Bubur lambuk SINAR diagihkan kepada pesakit-pesakit SINAR, kakitangan SINAR dan beberapa institusi seperti: 1. Madrasah Ar-Rabaniah Krubong 2. Unit dialisis Hospital Melaka & Alor Gajah 3. Pertubuhan Kebajikan Al-Muhibbin 4. Madrasah Al-Islah Pulau Gadong Acara disambung pula dengan Majlis Berbuka Puasa bersama kakitangan dan pesakit-pesakit SINAR Malim, Alor Gajah dan Jasin. Istimewanya, Majlis Berbuka Puasa kali ini membawakan konsep gotong-royong, dimana kesemua hidangan berbuka puasa disediakan adalah hasil air tangan secara bergotong-royong oleh kakitangan SINAR sendiri. Pada sebelah malam pula, Sumbangan Ramadan telah disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif SINAR Haemodialysis, Hj Mohd Amerudin Hj Kamaludin dan juga Hj Kamaludin Bin Yusuf kepada pesakit-pesakit SINAR. Tidak dilupakan, kakitangan SINAR juga turut menerima sumbangan berbentuk barangan keperluan harian seperti gula, minyak dan beras .