7 OGOS 2019 - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama Raja Permaisuri Agong Tunku Hajjah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan merasmikan Pusat Hemodialisis Yayasan Al-Sultan Abdullah atau lebih dikenali dengan YASA. Sinar Haemodialysis Sdn Bhd sebagai pusat hemodialisis yang berpengalaman selama 13 tahun dalam industri dialisis telah diberi kepercayaan penuh untuk menguruskan Pusat Hemodialisis YASA yang pertama terletak di Wisma Damai, Cheras ini. Tujuan utama pembukaan Pusat Hemodialisis YASA ini adalah atas keprihatinan Tuanku terhadap nasib rakyat yang tidak berkemampuan untuk mendapatkan rawatan hemodialisis terutamanya golongan B40 dan M40. Pusat hemodialisis ini diwujudkan di bawah tajaan YASA, yang merupakan yayasan amal bukan berasaskan keuntungan ditubuhkan Al-Sultan Abdullah bersama Raja Permaisuri Agong Tunku Hajjah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, dan anakanda-anakanda Seri Paduka berdua. Pusat Hemodialisis YASA ini adalah pusat rawatan hemodialisis tajaan Tuanku yang pertama dan SINAR telah diberi kepercayaan untuk menguruskannya, manakala SINAR pula telah berjaya menyiapkannya mengikut garis panduan dan prosedur Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam tempoh 3 bulan dan ianya adalah satu usaha dan kerja keras yang membanggakan dalam menunaikan impian Tuanku dan baginda amat berpuas hati dengan Pengurusan SINAR dari awal permohonan lesen sehinggalah kelulusan dari KKM beroperasi sepenuhnya diperolehi. Berkat usaha dan komitmen yang tinggi dari pasukan SINAR yang diketuai oleh Tuan Haji Mohd Amerudin dan isteri, Puan Hajjah Noor Hadzlina Misbah, YASA berjaya dibuka mengikut tempoh yang ditetapkan tanpa melangkaui prosedur KKM dan mula operasi pada 1 Ogos 2019 dengan 8 unit mesin hemodialisis. Tuanku bersama Raja Permaisuri Agong telah mencemar duli dalam majlis perasmian ini, dengan beramah mesra bersama pesakit - pesakit yang menjalani rawatan ketika itu Tuanku dan Raja Permaisuri Agong juga turut melawat di Tingkat 1 dimana menempatkan jantung dialisis iaitu bilik ‘Reverse Osmosis’ (RO). Tuanku diberi penerangan ringkas berkaitan itu dan seterusnya sesi sidang media dan bergambar diadakan. Masa yang diluangkan oleh Tuanku dan Raja Permaisuri Agong semasa majlis berlangsung merupakan sejarah yang manis untuk warga SINAR dan para pesakit kerana kami mengagumi Baginda berdua yang berjiwa rakyat. Tidak ada perkataan lain selain daripada syukur atas kesempatan dan peluang yang telah diberikan kepada SINAR oleh pihak Tuanku dan Tuanku Permaisuri untuk menjayakan Pusat Hemodialisis YASA ini. Sudah pasti mandat dan kepercayaan yang diberikan ini akan SINAR galas dengan sesempurna mungkin.